POWERPOINT


Ghazal

VIDEO PEMBENTANGAN





VIDEO MUZIK GHAZAL

MUZIK GHAZAL PARTI



GHAZAL PARTI LAGU HINDUSTAN



ANAWINTA- GHAZAL PARTI KEPALA BATAS, PULAU PINANG.





GHAZAL JOHOR.

GHAZAL TUN MAMAT-PUTERI GUNUNG LEDANG



GHAZAL JOHOR - JOHAN GHAZAL REMAJA JOHOR

CABARAN MUZIK GHAZAL

Dalam memperkembangkan muzik tradisional ghazal di Malaysia, Yayasan Negeri Johor amnya telah memainkan peranan yang amat besar dalam memelihara dan memperkembangkan muzik ghazal Johor khususnya di kalangan generasi muda supaya ia tidak hilang ditelan zaman. Yayasan Negeri Johor telah memperkenalkan muzik ini sebagai salah satu matapelajaran kokurikulum di sekolah-sekolah rendah di Johor Bharu. Hal ini adalah untuk menggalakkan pelajar dari generasi muda memahami dan sekaligus meminati muzik tradisional ini. Generasi muda adalah penyambung kepada warisan dan budaya muzik supaya ia tidak hanya tinggal sekadar sejarah. Bila kanak-kanak dan remaja kenal dan minat kepada muzik ghazal ini ia akan menimbulkan keseronakkan dan sekaligus akan dapat memelihara muzik ghazal ini daripada hilang ditelan zaman.

Walaupun tidak mudah untuk membawa muzik tradisional ghazal ini keperingkat yang lebih tinggi dikalangan generasi masa kini, namun dengan usaha-usaha yang telah dilakukan oleh penggiat-penggiat ghazal serta badan-badan kerajaan seperti yayasan Negeri johor ia patut dihargai. Hal ini kerana dengan kemajuan teknologi dan kemunculan aliran muzik yang pelbagai dari seluruh pelosuk dunia, maka tidak hairanlah muzik tradisional semakin dipinggirkan oleh generasi masa kini.

Inisiatif yang diambil oleh yayasan Negeri Johor dilihat sebagai langkah tepat dalam memeperkembangkan muzik ghazal di kalangan generasi muda. Diharapkan supaya langkah yang telah dubuat oleh yayasan negeri Johor ini dapat diambil iktibar dan panduan oleh kerajaan bagi memelihara dan memperkembangkan muzik tradisional, bukan sahaja muzik ghazal tetapi muzik-muzik tradisional lain supaya muzik tradisi ini kekal hingga selama-lamanya.

PERBANDINGAN JENIS GHAZAL

PERBEZAAN DI ANTARA GHAZAL PARTI DAN GHAZAL JOHOR.


i) GHAZAL JOHOR

  • Lagu: Banyak membawakan lagu-lagu Melayu asli seperti Sri Mersing, Siti Payung, Patah hati dan Seri Banang.

  • Cara Persembahan: Penyanyi menyanyi secara duduk/tiada lawak

  • Alat: Ada 7 alat muzik iaitu peti harmonium, tabela / tabla, violin, gambus, gitar, tamborin dan marakas.

Tarian: Tiada Tarian


ii) GHAZAL PARTI

  • Lagu: Membawa lagu-lagu berirama padang pasir seperti lagu alabaladi, anawintal Wahdina, Ahbabinna, Wai Ya, ya Gamil, Istak na ya Albi, Ah-Yazid dan Ifrah Ya Albi.

  • Cara Persembahan: Penyanyi menyanyi secara berdiri/ada lawak

  • Alat Muzik: Ada 8 alat muzik iaitu gambus, akordian, violin, seruling flut, bongo, marakas, tamborin dan double bass.

  • Tarian: Ada tarian.

MUZIK GHAZAL JOHOR

PENGENALAN

Ghazal merupakan kesenian tradisional masyarakat Melayu Negeri Johor yang popular dewasa ini. Pada Peringkat permulaannya, Seni ghazal ini disebut sebagai "Gamat" yang bererti riuh-rendah dan dikatakan ia berasal dari Tanah Arab. Pada akhir abad ke-19, apabila kerajaan Johor menjalinkan hubungan yang erat dengan Kerajaan Riau Lingga, beberapa orang daripada golongan bangsawan Johor sering berulang alik ke Riau. Di mana mereke sering dihiburkan dengan permainan ghazal. Ada di antara mereka itu telah mempelajari lalu memperkenalkan kesenian ini di Istana Sulta Johor yang pada ketika itu berada di Teluk Belanga, Singapura. Bermula dari Istana Teluk Belanga, kesenian muzik ghazal ini telah mendapat perhatian daripada Sultan, pembesar-pembesar negeri dari golongan istana. Justeru itu, perkembangan ghazal ke peringkat rakyat jelata menjadi cepat dan pesat. Apabila pentadbiran Johor berpindah dari Teluk Belanga ke Tanjung Puteri, kesenian ini turut diperkembangkan dengan lebih pesat lagi di Tanah Besar Johor.

Perkembangan seni muzik ghazal di negeri Johor sering dikaitkan dengan nama Allahyarham Datuk Bentara Luar, Mohd Salleh Bin perang. Semasa membuka daerah-daerah baru di Johor, Datuk Bentara turut juga memperkenalkan seni muzik ghazal. Muzik ghazal sering dimainkan di rumah- rumah penghulu dan juga pada hari-hari keramaian tertentu. Selain Allahyarham Datuk Bentara Luar, ramai lagi pembesar istana yang turut menyumbangkan tenaga dalam memperkenalkan kesenian muzik ini, antaranya ialah Ungku Ahmad Bin Mohd Khalid ( Ungku Chik), Ungku Mohammed Bin Mohd Khalid, Ungku Sulaiman Bin Daud, Ungku Abdul Aziz Bin Abdul Majid dan Encik Dapat.

Di tengah-tengah arus perkembangan seni muzik ghazal di Johor pada ketika itu,munculah Haji Musa Bin Yusof atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Lomak. Pak Lomak adalah cucu kepada Dato'Bentara Luar. Sebagai seorang anak yang lahir di tengah- tengah keluarga yang mencintai seni ghazal, Pak Lomak idak dapat memisahkan dirinya daripada seni ini. Beliau telah mempelajari seni muzik ghazal ini dengan begitu mendalam sekali.


PAK LOMAK BAPA GHAZAL MELAYU JOHOR

Muzik ghazal sebuah muzik tradisional Melayu yang popular dipercayai dibawa oleh orang- orang India ke Johor dalam tahun 1920-an. Pada mulanya, muzik ghazal diperkenalkan kepada anggota Pasukan Timbalan Setia Johor oleh pelatih-pelatih askar yang dibawa khas dari India. Kenyataan ini dibuktikan oleh individu pertama yang memperkenalkan seni muzik ghazal kepada masyarakat Melayu Johor pada waktu itu iaitu Haji Musa bin yusoff. Beliau merupakan salah seorang anggoa Pasukan Timbalan Setia Johor yang lebih dikenali dengan nama Pak Lomak atau Mejar Lomak.

Beliau dilahirkan di Batu Pahat pada 27 Mac 1889. Bapanya Allahyarham,Tuan Haji Yusoff bin Mohd.Salleh ialah bekas Pesuruhjaya Tanah dan Galian Negeri Johor. Datuk Allahyarham, Dato Mohd Salleh bin Perang( Dato' Bentara Luar Johor) merupakan tokoh yang telah mengasaskan pembukaan daerah Batu Pahat dan Muar Johor. Beliau mula mempelajari seni ghazal daripada pelatih-pelatih india dalam Pasukan Timbalan Setia yang membawa bersama mereka permainan Ghazal dari India. Pak Lomak terkenal dengan kebolehannya memainkan alat-alat muzik ghazal terutamanya alat harmonium. Beliau juga boleh menyanyi lagu-lagu ghazal yang pada waktu itu dinyanyikan dalam bahasa Urdu,bahasa rasmi orang- orang kawasan Timur India.

Berdasarkan pengalaman dan bakat yang terserlah dalam bidang seni itu. Pak Lomak mula menterjemahkan atau menyesuaikan lagu-lagu Ghazal daripada bahasa urdu ke bahasa Melayu. Di sinilah ber,ulanya perkembangan Ghazal Melayu di negeri Johor. Pak Lomak juga mencipta lagu-lagu ghazal Melayu dan antara lagu-lagu yang sangat terkenal sehingga sekarang ialah Seri Mersing dan Gunung Banang. Pak Lomak pernah berkhidmat di daerah Mersing pada tahun 1923-1924. Beliau telah mencipta lagu Sri Mersing semasa berkhidmat di Mersing. Seri Mersing dipercayai dinyanyikan buat pertama kalinya dalam tahun 1925 di Singapura.

Ghazal Johor terus berkembang dengan wujudnya beberapa perubahan yang dilakukan misalnya alat-alat muzik tambahan. Ramai pemain muzik dan penyanyi ghazal muncul hasil cetusan didikan Pak Lomak. Lagu- lagu ciptaan baru diusahakan dan dalam tahun-tahun 30-an banyak perubahan telah berlaku. Pengaruh India mula berkurangan dan hanya yang masih kekal adalah dalam penggunaan alat muzik harmonium dan tabla. Dari segi nyanyian pula hanya beberapa patah lagu tertentu sahaja yang masih ada unsur-unsur penagruh india. Ghazal Johor terus diminati hingga ke tahun 60-an dengan berkembang hingga ke Singapura. Beberapa kumpulan ghazal telah muncul dan lahirlah pemuzik- pemuzik dan penyanyi- penyanyi ghazal yang terkenal pada zaman itu seperti Ahmad Jusoh, Hamzah Dolmat, Rosiah Chik dan Kamariah Noor memulakan kegiatan mereka. Namun demikian, Hamzah Dolmat tidak kekal dalam bidang ghazal tetapi memulakan tradisi muzik asli walaupun beliau tidak menolak jika ada kesempatan untuk bermain muzik ghazal.

Pak Lomak telah kkembali ke rahmatullah pada hari selasa 27 Jun 1960 jam 11.20 malam. Beliau telah banyak meninggalkan jasa yang yang tetap menjadi kenangan dalam bidang kebudayaan dan kesenian Melayu Johor. Sebagai tanda pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan beliau dalam perkembangan seni ghazal, Kerajaan Negeri Johor Darul Ta'zim telah menwujudkan 'Piala Pak Lomak' sebagai piala rebutan pertandingan Ghazal Kebangsaan Johor mulai tahun 1998 yang diselenggarakan oleh Yayasan Warisan Johor.


ALAT-ALAT MUZIK GHAZAL JOHOR

Menurut Allahyarham Pak Lomak, permainan ghazal Melayu adalah suatu cara Permainan bunyi-bunyian dan nyanyian sebagai hiburan di dalam kesenian Melayu yang ditiru menurut cara orang Hindustan. Dalam bahasa Hindustan permainan ghazal disebut "Gamat". Pancaragam Gamat menggunakan empat jenis alat bunyian iaitu Syaringgi, sitar, Harmonium dan Tabla. Syaringgi rupanya adalah berbentuk seperti tongkang kayu, bertali tiga, dimainkan dengan digesek dengan penggeseknya. Sitar berupa seperti buah labu, diberi berbatang panjang, talinya ujuh dipetik dengan pemetiknya. Harmonium adalah serupa dengan harmonium yang digunakan dalam pancaragam ghazal, demikian juga tabla. Pada peringkat awalnya seni ghazal dalam Kesenian Melayu di Johor hanya menggunakan dua jenis alat muzik yang digunakan dalam permainan Gamat iaitu harmonium dan tabla. Alat syaringgi digantikan dengan biola dan sitar digantikan dengan gambus. Dalam perkembangan seterusnya, pancaragam ghazal ditambah dengan gitar dan satu dua alat muzik yang lain.


a.) Peti Harmonium

- Iaitu sejenis alat muzik yang berasal dari India. Peti Harmonium digunakan sebagai alat mengeluarkan melodi dalam lagu-lagu Ghazal.


b.) Tabela/ Tabla
- Sepasang gendang kecil yang berasal dari India, yang kecil dinamakan Din dan yang besar Dinamakan Bam. Alat ini penting bagi memainkan rentak dan juga tempo.

c.) Biola / Violin
- Viola biasa disebut Biola. Sebenarnya biola lebih besar sedikit daripaa Violin. Biola tidak sesuai bagi permainan muzik ghazal tetpai violin adalah lebih sesuai. Alat ini berasal dari Barat, jepun dan Negeri China. Alat ini digantikan dengan alat muzik Sharinggi India.




d.) Gambus
- Sejenis alat muzik yang berasal dari Negara Arab, juga dikenali dengan sebutan Od. Alat ini menggantikan alat muzik sitar dari India. Alat muzik ini juga perlu ada dalam permainan muzik ghazal Johor.

e.) Gitar
- Sejenis alat muzik dari negara Barat. Alat ini juga perlu ada bagi memainkan melodi dan rentak muzik ghazal Johor.



f.) Tamborin
- Sejenis alat muzik perkusi yang menggantikan alat keroncongan ( India). Alat ini digunakan sebagai alat rentak dan tempo.


g.) Marakas
- Sejenis alat muzik perkusi yang perlu ada dalam muzik ghazal Johor. Alat ini juga berperanan sebagai alat tempo dan rentak.

GHAZAL PARTI



SEJARAH GHAZAL PARTI

Menurut sumber ketika melakukan kerja lapangan di Alor Setar, Kedah, Ghazal Parti tidak diketahui sejak bila ia wujud di Malaysia. Ghazal Parti ini mempunyai pengaruh daripada Arab yang dibawa masuk oleh pedagang India di utara Semenanjung Malaysia seperti Pulau Pinang dan Kedah yang turut membawa masuk boria. Maka tidak hairanlah gaya bahasa yang digunakan cenderung kepada dialek utara Kedah dan Pulau Pinang. Ghazal ini dilihat popular sekitar tahun 1940-an sehingga 1960-an dan menjadi satu budaya yang popular dan kemestian bagi masyarakat setempat.

FUNGSI GHAZAL PARTI

Istilah 'Parti' membawa maksud kepada keramaian. Maka ia amat sinonim dengan bentuk hiburan dalam kalangan rakyat biasa yang selalunya meraikan pelbagai majlis keramaian terutamanya dalam perkahwinan. Ghazal Parti berfungsi memeriahkan majlis dan memberi hiburan kepada mereka yang hadir ke majlis tersebut. Justeru, kita dapati bahawa terdapat unsur lawak jenaka dan tarian ala Arab bagi tujuan menarik orang ramai untuk turut bersama-sama dalam majlis tersebut.

LAGU, SKETSA JENAKA DAN TARIAN

Sudah menjadi kemestian bagi Ghazal Parti untuk mengalunkan lagu berunsur padang pasir. Lagu-lagu yang popular dimainkan kebanyakkan adalah datang daripada tanah Arab dan ada di antaranya ditukar kepada Bahasa Melayu. Antara lagu-lagu yang popular adalah seperti "Alabaladi", "Anawintal Wahdina", "Wai Ya", "Ya Gamil", "Istak Na Ya Albi" dan "Ma'al Wen Telu". Lagu Arab yang dipersembahkan kebanyakan yang digemari adalah berirama masri. Lagu-lagu ini ada yang diambil daripada nyanyian penyanyi daripada Timur Tengah yang popular di sana seperti Fairuz, Ommu Kulthum Muhammad Abdul Wahab dan Abdul Halim Hafiz. Lagu-lagu yang dibawa mempunyai unsur nasihat, semangat bekerja, patriotik dan percintaan.

Dalam Ghazal Parti tidak lengkap sekiranya tidak diselitkan dengan unsur lawak jenaka dan tarian yang menjadi elemen penting bagi ghazal ini. Kemunculan pelawak ini sebagai mengisi ruang bagi pemain dan penyanyi untuk berehat kerana Ghazal Parti dipersembahkan memakan masa yang panjang. Antara pelawak yang cukup terkenal pada suatu ketika ialah Hassan Putu Mayong, Din Tok Arab dan Husin Kacong. Kemunculan penari ini sering dinantikan apabila setiap lagu dimainkan kerana terpesona dengan gaya dan lenggok tarian mereka yang mengikut irama padang pasir.


Masyarakat Melayu di Utara menerima budaya ini kerana ada pengaruh Arab dan Parsi. Malahan tidak melanggar batas-batas agama kerana pencampuran antara lelaki dan perempuan adalah amat dijaga. Watak penari perempuan biasanya dilakonkan oleh penari lembut. Hal ini berlaku kerana pada akhir tahun 1940 an , wanita tidak dibenarkan menjadi penari. Hal ini demikian kerana para ulama ketika itu antaranya Haji Ahmad Haji Badawi yang merupakan bapa kepada mantan Perdana Menteri YAB Tun Abdullah telah melarang wanita untuk menari di khalayak ramai. Implikasi daripada larangan ahli ulama maka lelaki yang menjadi penari gelek kepada lagu-lagu berirama padang pasir yang memerlukan seseorang itu memakai pakaian seperti wanita. Fungsi tarian ala wanita diadakan bertujuan menarik perhatian penonton untuk meramaikan dan memeriahkan setiap persembahan ketika itu. Pada waktu itu, pakaian wanita yang dipakai ialah tudung, kain batik dan baju kurung. Namun kemunculan 'Mak Nyah' atau pondan hanya muncul pada tahun 1950 an. Seterusnya, pada tahun 1970 an penari gelek tidak digalakkan pada persembahan Ghazal Parti. Tetapi pada hari ini terdapat sesetengah kumpulan Ghazal Parti masih mengekalkan unsur tarian sebagai pengekalan warisan turun-temurun.


CARA PERSEMBAHAN


Ghazal Parti mempunyai gaya persembahan tersendiri. Ini demikian kerana, dalam persembahannya memaparkan keunikan dan identiti sebuah ghazal yang terkenal di daerah bahagian utara Semenanjung Malaysia.

Pada awal persembahan, Ghazal Parti akan memainkan instrumental yang berentak Arab sebagai pembuka lagi. Kumpulan-kumpulan Ghazal parti menjadikan lagu intrumental ini sebagai pengenalan kepada kumpulan mereka. Sehubungan itu, masyarakat akan mudah mengenali mereka melalui pembawaan lagu pembuka mereka yang saling berbeza antara satu kumpulan dengan kumpulan yang lain.

Sebaik sahaja tamat alunan instrumental, beberapa lagu akan didendangkan. Penyanyi menyampaikan lagu tersebut sambil berdiri. Lagu permulaan yang dimainkan adalah lagu berunsur Arab, selepas itu, barulah lagu-lagu lain turut dimainkan secara berselang-seli seperti lagi Hindustan dan Dangdut. Kebanyakkan kumpulan ghazal ini memainkan tempo lagu berentak masri, samba, inang dan dangdut. Penari-penari akan muncul semasa lagu-lagu tersebut dimainkan. Penari akan menarikan tarian gelek yang dilakukan secara bebas mengikut rentak lagu tersebut.

Kita perlu ketahui bahawa, lawak jenaka atau sketsa amat penting bagi persembahan Ghazal Parti. Unsur tersebut biasanya disampaikan ketika dipertengahan persembahan. Fungsi lawak jenaka dilakukan adalah memberi masa kepada pemuzik untuk berehat seketika kerana persembahan ghazal memerlukan masa yang agak panjang bagi satu-satu persembahan. Lawak yang disampaikan adalah berbentuk verbal, namun terdapat juga kumpulan cuba menyelitkan lawak jenaka semasa menari. Berdasarkan info yang lagu diperolehi, persembahan ghazal parti akan mengalunkan lagu paling maksimum adalah 20 lagu bergantung kepada masa yang diperuntukan, ada yang lebih daripada itu.

Memang tidak dinafikan, persembahan Ghazal Parti amat terpengaruh dengan unsur padang pasir, lantaran itu, penyampaian lagu Arab tidak dapat lari dengan alunan taranum antaranya bayati, hijjaz, nahwan dan ras. Contohnya dalam lagu 'Albaladin' yang mengalunan unsur taranum bayati dan 'Ifrah Ya Albi' yang mengandungi pelbagai unsur taranum yang dialunkan bermula dengan nada rendah, diikuti serdahana, tinggi dan pengakhiran lagu ke nada rendah semula.

INSTRUMEN GHAZAL PARTI


Alat muzik yang digunakan oleh Ghazal Parti mempunyai perbezaan dengan Ghazal Johor. Terdapat kepelbagaian instrumen dari Barat dan Timur dalam Ghazal Parti ini. Intrumen utamanya adalah gambus, akordion, bongo, seruling flute, violin, marakas, tamborin dan doble bass. Instrumen lain turut dimasukkan dalam asembel ghazal ini untuk memperkayakan lagi rentak dan irama muzik Ghazal Parti seperti drum, gitar bass dan keyboard yang kebanyakkan berentak rancak.

Berikut adalah intrumen utama bagi Ghazal Parti:

a) Gambus

Gambus adalah klasifikasi alat muzik kordofon iaitu mengeluarkan bunyi apabila tali yang ditegangkan itu dipetik.

b) Akordion

Akordion boleh dikategorikan sebagai aerofon kerana terdapat lubang udara yang berfungsi menghasilkan bunyi apabila diregangkan dan ditekankan bilah-bilah berbentuk seperti bilah keyboard. Akordion Ghazal Parti menggantikan Hamonium dalam Ghazal Johor.

c) Bongo

Bongo boleh diklasifikasikan sebagai membranofon yang akan dihasilkan bunyi apabila memalu dipermukaan kulit atan membran yang ditegangkan. Bongo ini menggantikan tabla dalam Ghazal Johor

d) Violin

Violin adalah tergolong dalam klasifikasi alat muzik kordofon dan apabila digeserkan dengan the bow atau busur sambil dipetik talinya akan mengeluarkan bunyi.

e) Seruling Flute

Seruling flute diklasifikasikan sebagai aerofon kerana bunyi-bunyi dikeluarkan daripada deretan lubang yang terdapat dipanjang flut tersebut. Bunyi akan terhasil apabila seseorang itu meniupnya sambil tangan mengawal lubang-lubang yang mewakili notasi tertentu.

f) Tamborin

Tamborin dalam klasifikasi dalam idiofon kerana struktur badannya diperbuat daripada logam dan kayu. Bunyi akan terhasil apabila melakukan goncangan.

h) Marakas

Marakas adalah dalam klasifikasi idiofon kerana diperbuat daripada kayu dan bunyi akan terhasil apabila kedua-duanya digoncangkan.


i) Double bass

Dalam kalangan kumpulan Ghazal Parti di daerah Pulau Pinang, menjadi kemestian untuk menggunakan double bass. Double bass diklasifikasikan dalam alat muzik kordofon yang akan menghasilkan bunyi apabila busur digeserkan kepada tali yang ditegang dan dipetik.

METADOLOGI KAJIAN

Kaedah yang digunakan dalam memperoleh maklumat ghazal Parti adalah melalui kerja lapangan temubual dan carian data di laman web. Kerja lapangan dilakukan di Alor Setar, Kedah. Kami berpeluang melihat sendiri kumpulan Ghazal Parti membuat latihan persembahan iaitu daripda Kumpulan Sri Irama Ghazal Pari Mergong, Kedah. Di kesempatan itu, kami melakukan kaedah temubual terhadap ketua kumpulan tersebut iaitu Encik Mohd Aziat Othman. Di samping itu juga, kami ada menemubual melalui telefon dengan wakil iaitu Encik Haris daripada Pertubuhan Ghazal Parti Daerah Kota Setar, Alor Setar untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut. Tidak ketinggalan, kami juga memperoleh data daripada laman web atau blog yang dibina sendiri oleh penggiat Ghazal Parti iaitu Blog Warisan Ghazal Parti (sumber: http://warisanghazalparti.blogspot.com/)
















 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 GHAZAL SMP2252 |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.